Barangkali kalau kita memperkatakan tentang seorang lelaki muslim dan
perjuangan, kita akan melihat ramai tokoh-tokoh dalam sirah seperti
Nabi s.a.w. sendiri, Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Khattab, Khalid Ibn
Walid, Uthman Affan, Ali bin Abi Tolib, Saad Abi Waqqas, Abu Ubaidah
Al-Jarrah dan ramai lagi para sahabat Nabi s.a.w.
Ya, itu biasa di dalam masyarakat kita.
Namun, bercakap soal muslimah dan perjuangan, seakan-akan ia menjadi
satu perkara yang begitu asing dalam masyarakat kita. Seakan-akan bila
kita berbicara tentang muslimah, muslimah itu dilihat dalam konteks yang
sempit seperti mestilah bersikap lembut atau lembik (?), jalan
menunduk, tidak banyak bicaranya, tidak boleh bersikap kritikal dan
melawan dalam banyak hal dan harus selalu berada di dapur. Inilah yang
ada di dalam pemikiran segelintir besar lelaki dan juga wanita sendiri.
Seakan-akan bila kita berbicara tentang muslimah, tidak ada tokoh
wanita di dalam sirah untuk dicontohi sedangkan tokoh sahabiah (wanita
muslimah) di zaman Nabi tersangatlah ramai.
Wanita di zaman Nabi s.a.w. adalah wanita muslimah yang tidak dapat
dipisahkan dengan istilah perjuangan. Di kalangan mereka bahkan terdapat
ramai tokoh yang hebat. Bermula sejak awal perjuangan Nabi s.a.w.
sendiri, wanita telah mempunyai tokoh yang hebat menjadi sayap
perjuangan Nabi di dalam mengembangkan dakwah Islam, iaitu Khadijah
binti Khuwailid.
Juga ada ramai lagi tokoh di kalangan mereka seperti Aisyah binti Abu
Bakar, Asma’ binti Yazid, Ummu Salamah, Khaulah, Nusaibah binti Kaab,
Fatimah binti Muhammad s.a.w. dan ramai lagi para sahabiah Nabi s.a.w.
yang lain.
Memberi Suntikan Kekuatan Kepada Fitrah Perempuan
Barangkali kerana unsur penciptaannya, kadangkala menjadikanwanita muslimah merasa dirinya lebih rendah daripada seorang lelaki.
Ya, kan?
Kalau seorang lelaki itu punya kekuatan tubuh dan juga semangat
kelelakiannya untuk dikerahkan demi sebuah perjuangan, pada wanita pula
selalunya disangka dengan fitrah penciptaan dirinya yang tidak sekuat
kudrat lelaki akan membuatkan dia selalu merasa tidak punya apa-apa
kekuatan untuk diserahkan kepada perjuangan.
Pada hakikatnya, wanita dengan fitrah penciptaannya itu yang mungkin
tidak sekuat kudrat lelaki atau tidak punya semangat seperti seorang
lelaki di dalam jiwanya, mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam
mengembangkan sayap perjuangannya.
Tidakkah kita telah melihat bagaimana besarnya peranan wanita-wanita
bukan Islam dalam mengembangkan dakyah dan pengaruh mereka di serata
dunia? Bukankah mereka juga seorang wanita yang diciptakan dengan fitrah
kewanitaan? Lalu, apakah yang membuatkan pengaruh mereka bisa begitu
luas sekali walaupun kudrat mereka tidak seperti seorang lelaki, jiwa
mereka tidak setahan jiwa seorang lelaki?
Wanita muslimah juga mampu sebenarnya. Tinggal lagi barangkali dengan
fitrah penciptaan dirinya yang bersikap pemalu (kebiasaannya) ditambah
lagi dengan kefahaman yang kurang mendalam terhadap nas Al-Quran dan
hadis berkaitan dirinya (yang selalu membuatkan dirinya merasa risau
akan salah bertindak jika mencanggahi kefahaman nas), juga dengan
suasana masyarakat yang kurang memberikan dokongan terhadap penglibatan
muslimah dalam perjuangan Islam, menyebabkan sesetengahnya selalu
mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja dan tidak mengekspresikan
pendapat dirinya kala menghadapi suasana perbezaan.
Fitrah perempuan yang diciptakan oleh Allah dengan penuh keindahan
ini perlu disuntik dengan kekuatan kefahaman Islam, disuntik dengan
kekuatan perancangan serta dorongan yang rapi agar perjuangan Islam di
sisi wanita berjalan dan berkembang dengan lebih pesat.
Jika jahiliah mengedepankan tokoh-tokoh wanita mereka dan sentiasa
mengkaderkan tokoh-tokoh baru dalam mengembangkan sayap jahiliah, maka
wanita muslimah sudah tentulah harus lebih serius dalam hal ini agar
dapat melebarluaskan lagi sayap perjuangan Islam.
Benar, kita juga tidak kurang tokoh muslimah masa kini, tetapi belum mencukupi !
Kita perlukan lebih ramai muslimah yang bisa terlibat serius
berfikir, bekerja dan berani untuk sentiasa ke hadapan di dalam
perjuangan Islam.
Penglibatan Wanita Muslimah Di Zaman Nabi Dalam Perjuangan Islam
Dalam usaha mengembangkan dan mempertahankan perjuangan Islam,
muslimah di zaman Nabi s.a.w. memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya. Di kalangan mereka terdapat ramai tokoh-tokoh besar yang
telah memainkan peranan penting dalam menjadi tiang kepada episode
perjuangan Islam.
Khadijah binti Khuwailid umpamanya, adalah seorang saudagar yang kaya
raya. Episod kehidupannya dengan Nabi menjadi saksi bahawa Khadijah
telah mempertaruhkan segala kekayaan dan hartanya demi perjuangan Islam
yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Tidak hanya itu, beliau juga telah menjadi
wanita yang sentiasa memberi dorongan dan kekuatan untuk Nabi tetap
yakin dengan pilihan Allah ke atas dirinya sebagai Nabi dan Rasul di
saat awal Nabi menerima wahyu yang telah membuatkan dirinya merasa takut
dan gementar.
Tidaklah mudah bagi seorang isteri semisal Khadijah untuk menjadi
pendokong kepada perjuangan Nabi s.a.w. di zaman yang mentaliti orang
ramai yang masih sukar untuk meninggalkan kepercayaan mensyirikkan Allah
s.w.t., meninggalkan perbuatan yang menghinakan perempuan, meninggalkan
riba dan tipu helah dalam jual beli. Tidaklah mudah menjadi seorang
isteri kepada seorang Nabi yang harus memulaka satu perjuangan yang
bercanggahan dengan apa yang sedang dianuti oleh masyarakatnya. Isteri
harus kuat untuk terus menyokong suaminya.
Tetapi itulah yang telah dilakukan oleh Khadijah.
Di dalam sirah perjuangan wanita di zaman Rasul s.a.w. juga, mereka
mempunyai tokoh yang tidak kurang hebat iaitu Asma’ bt Yazid. Beliau
dikenal sebagai khatibatun nisa’ (wanita sang jurucakap) kerana selalu
mewakili golongan wanita terutamanya wanita Ansar dalam memperjuangkan
isu-isu wanita.
Pernah sekali beliau bercakap bagi golongan wanita muslimah, bertanya
perihal ganjaran wanita kerana ketidakmampuan mereka untuk turut serta
dalam kebanyakan pekerjaan yang dilakukan oleh lelaki.
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi seluruh
wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang
aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku.
Sesungguhnya Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita,
kemudian kami beriman kepadamu dan membai`atmu. Adapun kami para wanita
terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penjaga rumah
tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat memenuhi syahwat mereka,
kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki
mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat, menghantar jenazah
dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang
menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami
juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?”
Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menoleh kepada para sahabat dan bersabda :
“Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”.
Para sahabat menjawab,“Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah!.”
Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kembalilah
wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di
belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada
suaminya, dan meminta keredhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa
yang disuruhnya (selagi tidak melanggar syara’), itu semua setimpal
dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”. [HR Ahmad]
Saya tidak memfokuskan sangat kepada isi hadis ini, tetapi fokus
kepada keberanian dan kebijakan Asma’ bt Yazid dalam menuntut hak bagi
wanita agar mereka juga memiliki peluang berada di kedudukan tinggi di
sisi Allah s.w.t. sebagaimana yang dimiliki oleh lelaki.
Di saat mentaliti masyarakat yang sebelum itu terbiasa memandang
wanita itu hanyalah sebagai objek untuk dipergunakan, maka ketrampilan
Asma’ dalam isu kewanitaan merupakan simbolik kepada sebuah ketokohan.
Ada lebih ramai sahabiah Nabi yang kalau dibicarakan, kita pasti akan
menemui contoh penglibatan yang aktif dalam perjuangan Islam daripada
pelbagai aspek. Mereka menjadi tokoh dan contoh yang baik di dalam
masyarakat. Saidatina Aisyah umpamanya adalah tokoh ilmuan yang menjadi
rujukan masyarakat. Nusaibah binti Kaab yang pernah terlibat dalam
perjanjian Aqabah, Perang Uhud dan lain-lain adalah antara tokoh besar
muslimah juga di zaman Nabi s.a.w. Jangan dilupakan Sumayyah, tokoh
pertama yang merupakan seorang wanita yang syahid di dalam Islam.
Penutup : Keperluan Kepada Para Pejuang Muslimah Yang Berpotensi Di Pelbagai Bidang
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam salah satu tulisannya yang bertajuk
Al-Harakah Wal Amal An-Niswi (Gerakan Islam dan Amal Kewanitaan) telah
menyebutkan bahawa gerakan wanita yang berjuang untuk Islam harus
diasingkan daripada berada di bawah kekuasaan dan arahan lelaki agar ia
mampu berkembang ke tahap yang lebih jauh. Beliau menyebutkan contoh
yang telah dilakukan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang telah
menubuhkan Qismul Akhawat Al-Muslimat (Bahagian Akhawat Muslimah) di
dalam gerakan Ikhwanul Muslimin agar wanita dapat melibatkan diri secara
aktif dalam perjuangan Islam, juga agar mereka dapat melatih kompetensi
dan gerak kerja yang kemas dalam perjuangan Islam sebagaimana yang
dilaksanakan oleh lelaki.
Keperluan kita kepada tokoh-tokoh baru muslimah yang berjuang untuk
Islam dalam pelbagai bidang sangatlah tinggi di era ini. Bahkan
keperluan itu sebenarnya telah dirasai sejak era lepas lagi tinggal lagi
belum dilihat secara kritikal di masa lepas.
Pada masa kini, persaingan dengan jahiliah yang tidak kurang
menampilkan ramai tokoh-tokoh wanitanya dalam pelbagai bidang tidak
kiralah sama ada di bidang kesenian, bidang isu-isu kewanitaan, isu
kemasyarakatan, bidang akademik, bidang kesihatan dan sebagainya menjadi
satu cabaran besar buat muslimah kita dalam meletakkan diri mereka
sesuai dan kekal relevan dengan arus realiti dunia hari ini.
Saya tahu, di luar sana masih ada ramai wanita muslimah berpotensi
yang memiliki kefahaman Islam yang baik, memiliki akhlak yang tinggi,
berpotensi besar, tinggal lagi perlu disuntik dengan semangat dan bekal
kekuatan agar dapat menjadi bukti di dalam masyarakat bahawa muslimah
juga dapat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam
perjuangan Islam.
Untuk menghasilkan natijah sebegitu, maka tidak dapat tidak peranan
muslimah itu sendiri dalam menggerakkan dirinya sangatlah penting.
Keseriusan pembinaan kemahiran diri dan ketrampilan di dalam masyarakat,
kesungguhan dalam berfikir dan berjuang adalah antara faktor penting
untuk sentiasa diperhatikan oleh seorang muslimah.
Muslimah sejati bukanlah seorang yang cuma seronok dilihat dirinya
itu cantik apalagi senang dilihat sebagai seorang yang lemah, tetapi
seorang yang mampu memberi manfaat untuk ummah !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberikan komen dan cadangan yang bernas.