9/02/2013

Jangan Merasa Lemah !



Bagi sesiapa yang pernah menyelak helaian buku Ma’alim Fit Toriq ataupun dalam bahasa Melayunya, Petunjuk Sepanjang Jalan karya As-Syahid Sayyid Qutb, pasti akan menemui ayat Al-Quran berkaitan dengan tema perbincangan kita ini di dalam tajuk yang dinukilkan dalam bukunya itu, iaitu Keagungan Iman.
Ayat Al-Quran yang dimaksudkan adalah firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Imran, ayat 139 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah (pula) bersedih hati. Dan kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu orang-orang beriman.” [Al-Imran : 139]
Ayat ini berkait rapat dengan peristiwa Uhud, ketikamana tentera Islam mula alpa dan leka di saat mereka sudah mula mendapatkan kemenangan, maka tentera kuffar ketika itu mengambil peluang untuk menyerang balas semula mereka sehingga ramai di kalangan mereka mengalami kecederaan termasuklah Rasul s.a.w. yang mengalami kecederaan yang teruk.
Ayat ini menjadi pemujuk dan sumber kekuatan agar orang-orang beriman tidak berundur dari perjuangan mereka meskipun mereka mengalami banyak kerugian dan ramai yang mati syahid.

Perjuangan Sentiasa Ada Pahit Getirnya, Tidak Ada Perjuangan Yang Mudah

Perjuangan untuk menegakkan kebenaran tidak akan sentiasa mudah. Jalannya tidak dibentang karpet merah apalagi dihidang dengan anggur dan buah-buahan enak bagaikan para pembesar di istana. Bahkan, jalannya sentiasa akan dicabar dan diuji dengan pelbagai macam mehnah dan kesusahan.
Para Nabi, para sahabat, salafussoleh serta para pendakwah yang telah lebih awal mendahului kita, mereka telah menempuh kesusahan dan kepayahan itu. Barangkali ada yang syahid di pertengahan perjuangan, tidak sempat menyaksikan hasil akhir perjuangan, namun itu tidak pernah menjadi penyebab untuk mereka yang masih hidup berputus asa dan tidak meneruskan lagi perjuangan.
Nabi s.a.w. yang menjadi kecintaan para sahabatnya pun meninggalkan para sahabatnya sehingga para sahabat menangis kesedihan, sehingga Umar pun hilang pertimbangan untuk seketika kerana terlalu sedih, namun perjuangan Islam, dakwah Islam tetap diteruskan selepas itu. Tidak berhenti. Mereka tidak berhenti dan berputus asa meski Nabi tiada lagi di sisi.
Ketika mereka berjuang bersama-sama Nabi s.a.w., membawa risalah Islam di dalam masyarakat Makkah, bukan mereka tidak tahu yang mereka pasti akan menghadapi cabaran dan rintangan daripada masyarakat mereka. Namun, kerana cinta mereka kepada Allah dan Nabi-Nya mengatasi segalanya, maka tidak ada yang dapat menghalang mereka bersama dalam gerabak perjuangan Nabi s.a.w. untuk memahamkan manusia tentang Islam.
Ketika mereka berjuang juga, tidaklah mereka itu dapat mengagak yang satu hari nanti mereka akan dapat membuka dan membersihkan semula Kota Makkah, mereka juga tidak pernah diberitahu oleh Tuhan atau Nabi seawal  mereka masuk Islam, bahawa kalau mereka ini bersama dengan perjuangan Islam, nescaya Allah akan memenangkan mereka di dalam Perang Badar dan banyak lagi peperangan yang lain. Natijah perjuangan itu mereka letakkan pada Allah dan mereka berusaha sekuat daya sehinggalah mereka mati di atas jalan perjuangan itu.
Tidak mudah untuk memiliki kekuatan jiwa sedemikian. Untuk tetap terus bertahan dan bersabar di medan perjuangan kala ujian, cabaran, tohmahan dan fitnah menghujani kita, ia perlukan lebih dari sekadar kekuatan tubuh fizikal.

Jangan Sampai Kelemahan Dan Kesedihan Membantutkan Perjuangan

Manusia bukan robot. Sekali-sekala berada dalam perjuangan sedemikian, ia pasti diuji dengan rasa lemah dan sedih.
Rasa lemah kerana kehilangan orang tersayang. Sedih kerana keluarga kesayangan telah syahid dalam perjuangan. Rasa lemah kerana diri cepat betul lalai ketika berseorangan. Rasa sedih kerana orang-orang yang lemah dan tidak bersalah terus-menerus dizalimi. Rasa lemah kerana memikirkan keterbatasan dan kemampuan diri. Rasa sedih kerana dunia muslim yang bergolak dan ramai pula muslim yang murah maruah dirinya.
Rasa lemah kerana usaha dakwah kita dikritik dan dihentam oleh orang. Rasa sedih kerana dakwah tidak bersambut.
Lantas, apakah dengan rasa sedih dan rasa lemah ini kita akan berhenti daripada meneruskan jejak perjuangan kita selama ini? Apakah rasa sedih dan lemah kerana ujian yang kita hadapi ini akan membunuh semangat dan kesungguhan kita dalam berjuang?
Maka, ayat 139 daripada surah Al-Imran yang telah disebutkan di awal tadi sangat signifikan sebagai pemujuk kala kita merasa lemah dan sedih.
Sayyid Qutb menyebutkan dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran berkaitan dengan ayat ini yang bermaksud :
“Sekiranya kamu adalah orang yang benar-benar beriman, maka janganlah merasa lemah dan merasa sedih. Adalah menjadi sunnatullah kita akan diuji dan teruji, dan bagi kamu itu ada kerehatan selepas jihad (bersusah-payah), ujian dan tapisan sebagaimana firman Allah :
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka maka mereka pun (pada perang badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membedakan antara orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kami dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim. Dan kerana hendak membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang kafir.” [Al-Imran : 140-141]

Penutup : Tetaplah Terus Mara Ke Depan !

Bila kita melibatkan diri dalam perjuangan Islam, bukanlah kita ingin mengutip habuan atau kepentingan untuk diri kita semata-mata.
Tetapi, kita melibatkan diri dalam perjuangan Islam adalah kerana kita ingin memenangkan Islam.
Kita tidak akan pernah tahu apakah hasil di hujung perjuangan itu. Kita memang mengharapkan kemenangan akhir adalah milik Islam, tetapi kita tidak akan pernah tahu apakah ketika kemenangan akhir itu dicapai, ia berlaku di zaman kita atau di zaman-zaman selepas kita.
Sebab itu, janganlah merasa lemah dan dukacita andai perjuangan kita sekarang tidak menampakkan hasil kemenangan yang besar. Kerana perjuangan Islam ini bersifat nafas panjang, maka kalau pun kemenangan itu tidak dicapai di masa kita, sekurang-kurangnya kita menjadi salah satu penyebab ke arah kemenangan itu yang mungkin berlaku pada zaman selepas kita.
Tetaplah terus mara ke depan.
Walau diuji, jatuh berkali-kali, jangan lelah untuk terus bangkit dan meneruskan jejak perjuangan.
Di kala kita menghadapi kesulitan di jalan perjuangan, pasti ada kemanisan dan kebahagiaan yang Allah hadiahkan.
Jangan lelah untuk terus mara ke depan !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan komen dan cadangan yang bernas.