FITNAH HARTA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
Fitnah ialah satu ujian dugaan dan cubaan yang didatangkan
oleh Allah s.w.t atas hamba-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Tiada sesiapa yang mampu menolak ataupun mempertikaikan ketetapan-Nya.
Fitnah terbahagi kepada 2
mengikut asal dan sumbernya:
1.Ujian yang datang
daripada Allah kerana sebab dan hikmah tersebut hanya diketahui oleh-Nya.
Contohnya, musibah atau bala bencana yang menimpa seorang hamba sama ada dia
seorang yang baik (soleh) atau tidak baik (taleh). Mungkin Allah ingin
mengangkat darjat orang yang soleh dan menambah pahala kebaikannya, manakala
orang tidak baik pula mungkin kerana Allah ingin menyucikan dirinya dan
membersihkan dosanya.
Sabda Rasulullah
s.a.w, maksudnya :
“Orang paling kuat ditimpa ujian ialah para anbia, kemudian
mereka yang seumpamanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Ujian tersebut sama
ada berbentuk kematian, penyeksaan, kefakiran, pemenjaraan, penyakit dan
seumpamanya, atas dirinya sendiri, isteri dan anak-anak.
2.Ujian yang berlaku
kerana manusia itu sendiri seperti perlakuan maksiat, dosa, pelanggaran
syariah dan perbuatan lain yang tidak baik dan tercela.
Pembahagian Fitnah
Dari sudut jenis
fitnah dan keseriusannya, ia terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu besar atau kecil, dan khas atau umum.
Ujian kecil yang khas seperti ujian
seorang lelaki dalam harta, isteri, anak-anak, jiran, kaum kerabatnya, atau
orang yang dengki kepadanya.
Ada kalanya sebab terjadi
ujian khas ini kerana faktor kesusahan atau terlalu mewah, fakir atau kaya,
sihat atau sakit, kuat atau lemah dan sebagainya.
Fitnah yang menimpa
seseorang kerana sebab-sebab ini amat banyak dan tidak mungkin dapat dihitung
kesemuanya secara terperinci. Tetapi, berkemungkinan untuk diberi perhatian dan
menyebut beberapa isu yang biasa tersebar dan besar mudaratnya untuk dijadikan
asas panduan.
Allah s.w.t telah
menerangkan bahawa harta dan anak-anak adalah salah satu ujian dan fitnah. Ia
berbeza pada keadaan dan kadar bahayanya. Al-Quran juga telah menyebut tentang
permusuhan dan perseteruan antara pasangan suami isteri, sahabat ataupun rakan
kongsi sama ada sesame lelaki atau wanita.
Firman Allah s.w.t
yang bermaksud :
“Dan ketahuilah,
hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi allah
jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal 8:28)
Dan firman-Nya lagi,
Mafhumnya :
“Wahai orang Mukmin,
sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh
bagimu. Maka, berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Jika kamu memaafkan, tidak
memarahi serta mengampuni (mereka), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan
di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64: 14-15)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberikan komen dan cadangan yang bernas.