9/02/2013

Muslimah Di Era Perjuangan


Barangkali kalau kita memperkatakan tentang seorang lelaki muslim dan perjuangan, kita akan melihat ramai tokoh-tokoh dalam sirah seperti Nabi s.a.w. sendiri, Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Khattab, Khalid Ibn Walid, Uthman Affan, Ali bin Abi Tolib, Saad Abi Waqqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan ramai lagi para sahabat Nabi s.a.w.
Ya, itu biasa di dalam masyarakat kita.
Namun, bercakap soal muslimah dan perjuangan, seakan-akan ia menjadi satu perkara yang begitu asing dalam masyarakat kita. Seakan-akan bila kita berbicara tentang muslimah, muslimah itu dilihat dalam konteks yang sempit seperti mestilah bersikap lembut atau lembik (?), jalan menunduk, tidak banyak bicaranya, tidak boleh bersikap kritikal dan melawan dalam banyak hal dan harus selalu berada di dapur. Inilah yang ada di dalam pemikiran segelintir besar lelaki dan juga wanita sendiri.
Seakan-akan bila kita berbicara tentang muslimah, tidak ada tokoh wanita di dalam sirah untuk dicontohi sedangkan tokoh sahabiah (wanita muslimah) di zaman Nabi tersangatlah ramai.
Wanita di zaman Nabi s.a.w. adalah wanita muslimah yang tidak dapat dipisahkan dengan istilah perjuangan. Di kalangan mereka bahkan terdapat ramai tokoh yang hebat. Bermula sejak awal perjuangan Nabi s.a.w. sendiri, wanita telah mempunyai tokoh yang hebat menjadi sayap perjuangan Nabi di dalam mengembangkan dakwah Islam, iaitu Khadijah binti Khuwailid.
Juga ada ramai lagi tokoh di kalangan mereka seperti Aisyah binti Abu Bakar, Asma’ binti Yazid, Ummu Salamah, Khaulah, Nusaibah binti Kaab, Fatimah binti Muhammad s.a.w. dan ramai lagi para sahabiah Nabi s.a.w. yang lain.

Memberi Suntikan Kekuatan Kepada Fitrah Perempuan

Barangkali kerana unsur penciptaannya, kadangkala menjadikanwanita muslimah merasa dirinya lebih rendah daripada seorang lelaki.
Ya, kan?
Kalau seorang lelaki itu punya kekuatan tubuh dan juga semangat kelelakiannya untuk dikerahkan demi sebuah perjuangan, pada wanita pula selalunya disangka dengan fitrah penciptaan dirinya yang tidak sekuat kudrat lelaki akan membuatkan dia selalu merasa tidak punya apa-apa kekuatan untuk diserahkan kepada perjuangan.
Pada hakikatnya, wanita dengan fitrah penciptaannya itu yang mungkin tidak sekuat kudrat lelaki atau tidak punya semangat seperti seorang lelaki di dalam jiwanya, mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam mengembangkan sayap perjuangannya.
Tidakkah kita telah melihat bagaimana besarnya peranan wanita-wanita bukan Islam dalam mengembangkan dakyah dan pengaruh mereka di serata dunia? Bukankah mereka juga seorang wanita yang diciptakan dengan fitrah kewanitaan? Lalu, apakah yang membuatkan pengaruh mereka bisa begitu luas sekali walaupun kudrat mereka tidak seperti seorang lelaki, jiwa mereka tidak setahan jiwa seorang lelaki?
Wanita muslimah juga mampu sebenarnya. Tinggal lagi barangkali dengan fitrah penciptaan dirinya yang bersikap pemalu (kebiasaannya) ditambah lagi dengan kefahaman yang kurang mendalam terhadap nas Al-Quran dan hadis berkaitan dirinya (yang selalu membuatkan dirinya merasa risau akan salah bertindak jika mencanggahi kefahaman nas), juga dengan suasana masyarakat yang kurang memberikan dokongan terhadap penglibatan muslimah dalam perjuangan Islam, menyebabkan sesetengahnya selalu mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja dan tidak mengekspresikan pendapat dirinya kala menghadapi suasana perbezaan.
Fitrah perempuan yang diciptakan oleh Allah dengan penuh keindahan ini perlu disuntik dengan kekuatan kefahaman Islam, disuntik dengan kekuatan perancangan serta dorongan yang rapi agar perjuangan Islam di sisi wanita berjalan dan berkembang dengan lebih pesat.
Jika jahiliah mengedepankan tokoh-tokoh wanita mereka dan sentiasa mengkaderkan tokoh-tokoh baru dalam mengembangkan sayap jahiliah, maka wanita muslimah sudah tentulah harus lebih serius dalam hal ini agar dapat melebarluaskan lagi sayap perjuangan Islam.
Benar, kita juga tidak kurang tokoh muslimah masa kini, tetapi belum mencukupi !
Kita perlukan lebih ramai muslimah yang bisa terlibat serius berfikir, bekerja dan berani untuk sentiasa ke hadapan di dalam perjuangan Islam.

Penglibatan Wanita Muslimah Di Zaman Nabi Dalam Perjuangan Islam 

Dalam usaha mengembangkan dan mempertahankan perjuangan Islam, muslimah di zaman Nabi s.a.w. memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Di kalangan mereka terdapat ramai tokoh-tokoh besar yang telah memainkan peranan penting dalam menjadi tiang kepada episode perjuangan Islam.
Khadijah binti Khuwailid umpamanya, adalah seorang saudagar yang kaya raya. Episod kehidupannya dengan Nabi menjadi saksi bahawa Khadijah telah mempertaruhkan segala kekayaan dan hartanya demi perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Tidak hanya itu, beliau juga telah menjadi wanita yang sentiasa memberi dorongan dan kekuatan untuk Nabi tetap yakin dengan pilihan Allah ke atas dirinya sebagai Nabi dan Rasul di saat awal Nabi menerima wahyu yang telah membuatkan dirinya merasa takut dan gementar.
Tidaklah mudah bagi seorang isteri semisal Khadijah untuk menjadi pendokong kepada perjuangan Nabi s.a.w. di zaman yang mentaliti orang ramai yang masih sukar untuk meninggalkan kepercayaan mensyirikkan Allah s.w.t., meninggalkan perbuatan yang menghinakan perempuan, meninggalkan riba dan tipu helah dalam jual beli. Tidaklah mudah menjadi seorang isteri kepada seorang Nabi yang harus memulaka  satu perjuangan yang bercanggahan dengan apa yang sedang dianuti oleh masyarakatnya. Isteri harus kuat untuk terus menyokong suaminya.
Tetapi itulah yang telah dilakukan oleh Khadijah.
Di dalam sirah perjuangan wanita di zaman Rasul s.a.w. juga, mereka mempunyai tokoh yang tidak kurang hebat iaitu Asma’ bt Yazid. Beliau dikenal sebagai khatibatun nisa’ (wanita sang jurucakap) kerana selalu mewakili golongan wanita terutamanya wanita Ansar dalam memperjuangkan isu-isu wanita.
Pernah sekali beliau bercakap bagi golongan wanita muslimah, bertanya perihal ganjaran wanita kerana ketidakmampuan mereka untuk turut serta dalam kebanyakan pekerjaan yang dilakukan oleh lelaki.
Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku.  Sesungguhnya Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita, kemudian kami beriman kepadamu dan membai`atmu.  Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami.  Kami menjadi penjaga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat memenuhi syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat, menghantar jenazah dan berjihad.  Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?
Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menoleh kepada para sahabat dan bersabda :
Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”. 
Para sahabat menjawab,“Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah!.”
Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, dan meminta keredhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang disuruhnya (selagi tidak melanggar syara’), itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”. [HR Ahmad]
Saya tidak memfokuskan sangat kepada isi hadis ini, tetapi fokus kepada keberanian dan kebijakan Asma’ bt Yazid dalam menuntut hak bagi wanita agar mereka juga memiliki peluang berada di kedudukan tinggi di sisi Allah s.w.t. sebagaimana yang dimiliki oleh lelaki.
Di saat mentaliti masyarakat yang sebelum itu terbiasa memandang wanita itu hanyalah sebagai objek untuk dipergunakan, maka ketrampilan Asma’ dalam isu kewanitaan merupakan simbolik kepada sebuah ketokohan.
Ada lebih ramai sahabiah Nabi yang kalau dibicarakan, kita pasti akan menemui contoh penglibatan yang aktif dalam perjuangan Islam daripada pelbagai aspek. Mereka menjadi tokoh dan contoh yang baik di dalam masyarakat. Saidatina Aisyah umpamanya adalah tokoh ilmuan yang menjadi rujukan masyarakat. Nusaibah binti Kaab yang pernah terlibat dalam perjanjian Aqabah, Perang Uhud dan lain-lain adalah antara tokoh besar muslimah juga di zaman Nabi s.a.w. Jangan dilupakan Sumayyah, tokoh pertama yang merupakan seorang wanita yang syahid di dalam Islam.

Penutup : Keperluan Kepada Para Pejuang Muslimah Yang Berpotensi Di Pelbagai Bidang

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam salah satu tulisannya yang bertajuk Al-Harakah Wal Amal An-Niswi (Gerakan Islam dan Amal Kewanitaan) telah menyebutkan bahawa gerakan wanita yang berjuang untuk Islam harus diasingkan daripada berada di bawah kekuasaan dan arahan lelaki agar ia mampu berkembang ke tahap yang lebih jauh. Beliau menyebutkan contoh yang telah dilakukan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang telah menubuhkan Qismul Akhawat Al-Muslimat (Bahagian Akhawat Muslimah) di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin agar wanita dapat melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan Islam, juga agar mereka dapat melatih kompetensi dan gerak kerja yang kemas dalam perjuangan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh lelaki.
Keperluan kita kepada tokoh-tokoh baru muslimah yang berjuang untuk Islam dalam pelbagai bidang  sangatlah tinggi di era ini. Bahkan keperluan itu sebenarnya telah dirasai sejak era lepas lagi tinggal lagi belum dilihat secara kritikal di masa lepas.
Pada masa kini, persaingan dengan jahiliah yang tidak kurang menampilkan ramai tokoh-tokoh wanitanya dalam pelbagai bidang tidak kiralah sama ada di bidang kesenian, bidang isu-isu kewanitaan, isu kemasyarakatan, bidang akademik, bidang kesihatan dan sebagainya menjadi satu cabaran besar buat muslimah kita dalam meletakkan diri mereka sesuai dan kekal relevan dengan arus realiti dunia hari ini.
Saya tahu, di luar sana masih ada ramai wanita muslimah berpotensi yang memiliki kefahaman Islam yang baik, memiliki akhlak yang tinggi, berpotensi besar, tinggal lagi perlu disuntik dengan semangat dan bekal kekuatan agar dapat menjadi bukti di dalam masyarakat bahawa muslimah juga dapat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam perjuangan Islam.
Untuk menghasilkan natijah sebegitu, maka tidak dapat tidak peranan muslimah itu sendiri dalam menggerakkan dirinya sangatlah penting. Keseriusan pembinaan kemahiran diri dan ketrampilan di dalam masyarakat, kesungguhan dalam berfikir dan berjuang adalah antara faktor penting untuk sentiasa diperhatikan oleh seorang muslimah.
Muslimah sejati bukanlah seorang yang cuma seronok dilihat dirinya itu cantik apalagi senang dilihat sebagai seorang yang lemah, tetapi seorang yang mampu memberi manfaat untuk ummah !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan komen dan cadangan yang bernas.