7/10/2014


FITNAH HARTA, KELUARGA DAN MASYARAKAT


Fitnah ialah satu ujian dugaan dan cubaan yang didatangkan oleh Allah s.w.t atas hamba-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Tiada sesiapa yang mampu menolak ataupun mempertikaikan ketetapan-Nya.

 Fitnah terbahagi kepada 2 mengikut asal dan sumbernya:

1.Ujian yang datang daripada Allah kerana sebab dan hikmah tersebut hanya diketahui oleh-Nya. Contohnya, musibah atau bala bencana yang menimpa seorang hamba sama ada dia seorang yang baik (soleh) atau tidak baik (taleh). Mungkin Allah ingin mengangkat darjat orang yang soleh dan menambah pahala kebaikannya, manakala orang tidak baik pula mungkin kerana Allah ingin menyucikan dirinya dan membersihkan dosanya.

  Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya :

“Orang paling kuat ditimpa ujian ialah para anbia, kemudian mereka yang seumpamanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

  Ujian tersebut sama ada berbentuk kematian, penyeksaan, kefakiran, pemenjaraan, penyakit dan seumpamanya, atas dirinya sendiri, isteri dan anak-anak.

2.Ujian yang berlaku kerana manusia itu sendiri seperti perlakuan maksiat, dosa, pelanggaran syariah dan perbuatan lain yang tidak baik dan tercela.

 
Pembahagian Fitnah

  Dari sudut jenis fitnah dan keseriusannya, ia terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu besar atau kecil, dan khas atau umum.

  Ujian kecil yang khas seperti ujian seorang lelaki dalam harta, isteri, anak-anak, jiran, kaum kerabatnya, atau orang yang dengki kepadanya.

  Ada kalanya sebab terjadi ujian khas ini kerana faktor kesusahan atau terlalu mewah, fakir atau kaya, sihat atau sakit, kuat atau lemah dan sebagainya.

  Fitnah yang menimpa seseorang kerana sebab-sebab ini amat banyak dan tidak mungkin dapat dihitung kesemuanya secara terperinci. Tetapi, berkemungkinan untuk diberi perhatian dan menyebut beberapa isu yang biasa tersebar dan besar mudaratnya untuk dijadikan asas panduan.

  Allah s.w.t telah menerangkan bahawa harta dan anak-anak adalah salah satu ujian dan fitnah. Ia berbeza pada keadaan dan kadar bahayanya. Al-Quran juga telah menyebut tentang permusuhan dan perseteruan antara pasangan suami isteri, sahabat ataupun rakan kongsi sama ada sesame lelaki atau wanita.

  Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

  “Dan ketahuilah, hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal 8:28)

  Dan firman-Nya lagi, Mafhumnya :

  “Wahai orang Mukmin, sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka, berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Jika kamu memaafkan, tidak memarahi serta mengampuni (mereka), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64: 14-15)